suria

Gara-Gara Rambut, Murid Dilarang Sertai Konsert

SEORANG budak lelaki berusia lapan tahun tidak dibenarkan menyertai konsert sempena Hari Natal di sekolahnya gara-gara potongan rambutnya yang disifatkan terlalu ekstrem.

Khai Okojie terpaksa duduk di dalam bilik darjah di Sekolah Rendah Komuniti Ellenbrook, Salford, Manchester pada Selasa manakala rakan-rakannya membuat persembahan di sebuah gereja berdekatan.

Kini ibu bapa Khai membuat aduan rasmi kepada sekolah tersebut.

Ibunya, Jo, seorang guru di sebuah sekolah rendah di Bury menyifatkan tindakan pengurusan sekolah anaknya sebagai tidak berperikemanusiaan.

"Sekolah itu tiada semangat sambutan Hari Natal. Ia amat kejam.

"Khai berlatih menyanyi di rumah dan dia mahu terlibat dalam konsert itu. Dia juga amat terutama kerana saya dapat menghadirkan diri kali ini.

"Bapanya, Dasuki, menghantarnya memotong rambut pada hujung minggu lalu. Saya tidak fikir ia ekstrem sebagaimana didakwa sekolah itu. Ia keriting di bahagian atas dan pendek di belakang.

"Sekolah hubungi saya bahawa Khai tidak boleh pergi ke konsert itu. Saya menjelaskan saya akan hadir pada konsert itu dan tidak adil untuk menghukum saya juga.

"Rakan Khai turut mempunyai potongan rambut yang sama. Saya fikir ia amat kejam apabila menghalang kanak-kanak hadir konsert tersebut semata-mata kerana potongan rambutnya," kata Jo.

Menurut laman web sekolah itu, apa jua gaya yang mencetuskan isu keselamatan dan kesihatan tidak akan dibenarkan.

"Potongan rambut berfesyen juga tidak dibenarkan. Murid-murid tidak boleh memotong rambut mereka dalam apa jua gaya yang ekstrem," katanya. - Metro.co.uk

potongan rambut, konsert

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain