suria

Selesai Sendiri Isu Jam Tangan Mewah - PM Thai

Jeneral Prawit Wongsuwan.

BANGKOK: Kontroversi berkaitan jam tangan mewah yang dipakai Timbalan Perdana Menteri Jeneral Prawit Wongsuwan adalah isu peribadi yang perlu diselesaikan sendiri antara beliau dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (NACC).

Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha berkata tiada siapa yang cuba melindungi Prawit dalam isu itu.

"Perkara itu adalah urusan peribadi Jeneral Prawit dengan NACC. Beliau uruslah sendiri. Tiada siapa yang cuba melindunginya," kata Prayut kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan di sini Selasa.

Prayut berdepan dengan tekanan hebat daripada parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan supaya beliau mengambil tindakan terhadap timbalannya, yang dilihat memakai seutas jam tangan mewah dan cincin berlian semasa sesi fotografi anggota Kabinet baharu Thailand baru-baru ini.

Prawit tidak mengisytiharkan kedua-dua barangan mewah itu kepada NACC semasa beliau mengangkat sumpah jawatan pada 2014.

Pada Isnin, Setiausaha Agung Persatuan Perlindungan Perlembagaan Thailand Srisuwan Janya menggesa perdana menteri menggunakan Perkara 44 untuk menggantung sementara Prawit daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan sehingga isu berkenaan selesai disiasat.

Prawit berkata beliau akan memberi penjelasan berhubung isu jam tangan dan cincin berlian itu dalam tempoh terdekat.

Netizen dan pemerhati di Thailand mengagak jam tangan mewah yang menimbulkan kontroversi itu berjenama Richard Mille dan bernilai antara 4 dan 10 juta Baht (kira-kira RM506,000 hingga RM1.3 juta).

Sementara itu, Prayut, yang juga mengetuai Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara (NCPO), berkata kerajaan pada mulanya bersetuju menggunakan Perkara 44 bagi memberi lebih banyak masa kepada parti politik mengemas kini keanggota masing-masing di bawah undang-undang berkaitan aktiviti politik yang baru diluluskan.

Undang-udang berkenaan, yang berkuat kuasa mulai Oktober lepas, akan tamat tempoh awal tahun depan.

"Mesyuarat NCPO bersetuju menggunakan Perkara 44 untuk menyelesaikan masalah itu, melanjutkan tempoh agar rakyat, parti politik baharu dan lama mempunyai lebih banyak masa untuk menjalankan aktiviti seperti mengemaskinikan keanggotaan dan urusan lain,” kata Prayut.

Sejak mengambil alih pentadbiran melalui rampasan kuasa pada 2014, kerajaan pimpinan tentera itu menggantung semua aktiviti politik di negara ini hingga mencetuskan kritikan meluas, termasuk daripada masyarakat antarabangsa.

Kerajaan tentera berjanji akan menarik balik larangan itu dan mengadakan pilihan raya umum yang dinanti-nantikan pelbagai pihak pada tahun depan bagi membawa kembali Thailand kepada pemerintahan demokrasi.

jam tangan mewah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain