suria

Akhirnya Jejak Kaki Ke Tanah Selepas Tiga Tahun

Rumah Gilbert di atas pokok kelapa selama tiga tahun. - odditycentral

SEORANG lelaki berusia 47 tahun dari La Paz di wilayah Agusan del Sur di Filipina kali terakhir menjejakkan kaki ke tanah pada 2014, sebelum bertindak memanjat sebatang pokok kelapa setinggi 18 meter.

Sejak itu, dia tidak pernah turun dan menjadikan pokok kelapa itu sebagai rumahnya.

Dikenali sebagai Gilbert Sanchez, lelaki tersebut dikatakan meninggalkan rumahnya untuk tinggal di atas pokok kelapa tiga tahun lalu, selepas dipukul di kepala menggunakan senjata dalam satu perbalahan.

Ibunya masih ingat betapa takutnya Gilbert ketika itu yang bimbang seseorang akan datang untuk membunuhnya.

Satu cara untuk memastikan dia terus hidup adalah memanjat pokok paling tinggi yang dijumpainya dan tinggal di situ.

Itulah yang dilakukan Gilbert sejak tiga tahun lalu, yang bergantung hidup dengan makanan dan minuman yang dibawa ibunya setiap hari, diangkat ke atas pokok menggunakan tali.

Ibu Gilbert, Winifreda Sanchez cuba untuk memujuknya turun dari pokok, sekurang-kurangnya untuk mandi, tetapi ditolaknya.

Apa yang boleh dilakukan ibunya adalah menghantar makanan, air, pakaian dan rokok kepadanya setiap hari.

Pada 11 Oktober lalu, satu pasukan yang terdiri daripada 50 orang bersama dengan keluarga Gilbert cuba memujuknya untuk turun sekali lagi, sebelum bertindak menebang pokok kelapa itu menggunakan gergaji.

Ia merupakan satu operasi yang sukar kerana boleh membawa Gilbert turun dengan selamat atau boleh menyebabkan dia terbunuh.

Bagaimanapun semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang dan Gilbert akhirnya menjejakkan kaki ke tanah selepas tiga tahun. - odditycentral

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain