suria

Agung Bakal Meletus Bila-Bila Masa

KLUNGKUNG: Analisis terkini menunjukkan tenaga seismik Gunung Agung semakin meningkat dan berpotensi meletus pada bila-bila masa.

Pusat Gunung Berapi Nasional dalam kenyataan yang dikeluarkan memberitahu, bagaimanapun tiada siapa yang dapat meramal bila letusan itu akan berlaku.

"Cabaran terbesar ialah, kami tidak dapat meramalkan jumlah penduduk yang bakal berpindah. Jika jumlahnya melebihi keupayaan maksimum, kami meminta setiap dewan awam di daerah berkenaan disediakan untuk menjadi kem pemindahan," kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Tempatan, Putu Widiada di daerah ini.

Katanya, pusat berkenaan akan dibekalkan dengan makanan, air, selimut dan khemah.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional juga sudah menghantar makanan dan bekalan logistik ke kawasan itu sambil menggesa sumbangan orang awam.

Setakat ini, kata Gabenor Made Mangku Pastika, hampir 35,000 orang dipindahkan ke lokasi selamat termasuk dewan bandaraya dan gimnasium sekolah serta khemah.

Kira-kira 600 anggota polis bertugas memastikan proses perpindahan penduduk terlibat berjalan lancar.

Pihak berkuasa melaksanakan larangan zon lingkungan 12 kilometer dari sekitar kawah Gunung Agung, ketika aktiviti gunung berapi itu semakin meningkat menyebabkan gegaran di timur destinasi pelancongan terkenal dunia itu.- AFP

Agung, Bali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Panel Pesawat Jatuh Hempap Kereta

Artikel Lain