suria

Kecoh Pramugari Kena Pukul

Gambar fail pesawat Citilink.

JAKARTA: Sebuah pesawat Citilink yang dijadualkan ke Jakarta dari Lapangan Terbang Kualanamu, Medan terpaksa menangguhkan penerbangannya lebih sejam berikutan sepasang suami isteri bergaduh dan memukul seorang pramugari dalam pesawat itu.

Media dalam talian pada Isnin melaporkan kejadian itu dipercayai bermula apabila pramugari berkenaan tidak membenarkan pasangan penumpang terbabit memasukkan beg mereka ke dalam pesawat kerana mendapati ia melebihi muatan. 

Ketua Polis Residen Deli Serdang, Robert Da Costa dipetik sebagai berkata, dalam kejadian 9 pagi waktu tempatan itu, penumpang terbabit telah menolak dan memukul pramugari yang meminta supaya begnya dikeluarkan dari kabin dan dimasukkan ke ruangan bagasi.

Katanya, sejurus kemudian juruterbang pesawat QG 0837 itu meminta pasangan penumpang terbabit keluar dari pesawat dan tidak akan berlepas selagi mereka enggan berbuat demikian.

Juruterbang itu kemudiannya memanggil pegawai keselamatan lapangan terbang bagi  mengeluarkan kedua-dua penumpang terbabit secara paksa setelah mereka berdegil untuk mengikut arahan.

Robert berkata, pengurusan syarikat penerbangan itu kemudiannya membayar semula harga tiket penumpang berkenaan.

"Penumpang itu tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang dan keadaan sudah kondusif kerana masalah itu hanya ditangani oleh pihak syarikat penerbangan," katanya.

Pesawat itu kemudiannya dilaporkan berlepas ke Jakarta pada 10.40 pagi Isnin. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain