suria

Bau Busuk, Mangsa Tidak Sempurna Cabaran Pengumpul Mayat

Mohamed Jalloh (depan) bersama rakannya yang menjalankan tugas murni mengumpul mayat mangsa banjir lumpur di negaranya.

FREETOWN: Sekumpulan pemuda mengenakan sut perlindung dan topeng muka berjalan sepanjang tebing sungai bagi mengesan mayat mangsa bencana banjir lumpur di sekitar Sierra Leone.

Salah seorang daripada mereka membuka topeng mukanya dan berkata: "Jika kamu bau sesuatu yang busuk beritahu kami"

Seketika kemudian terdengar ada orang menjerit memanggil mereka dan pasukan itu bergegas ke arah suara itu.

Mereka masuk ke kawasan yang penuh lumpur, ranting kayu dan plastik yang terkumpul, selain dipenuhi aroma yang kurang enak di bau.

Pengumpul mayat itu kemudiannya gigih mencari dan kira-kira lima minit kemudian mereka menarik keluar kaki yang semakin mereput.

Segera beg khas untuk memasukkan mayat dikeluarkan, menandakan seorang lagi mangsa yang hilang telah ditemui.

Kata Mohamed Jalloh, antara masalah utama yang dihadapi adalah kebanyakan mayat ditemui dalam keadaan tidak sempurna kerana dihempap pokok atau akibat jentolak.

Setakat ini, angka kematian akibat banjir lumpur yang melanda ibu negara Sierra Leone dilaporkan mencecah lebih 500 orang, manakala 810 lagi hilang.

"Jumlah kematian sudah meningkat melebihi 500 orang," kata Naib Presiden Sierra Leone, Victor Bockarie Foh pada majlis penyerahan bekalan bantuan oleh kerajaan Jepun.- AFP

Jalloh, Bockarie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mawar Merah Iringi Yingluck

Artikel Lain