Cuba Seludup Keluar Syiling Lama, Pelancong Britain Ditahan - Dunia | mStar

Cuba Seludup Keluar Syiling Lama, Pelancong Britain Ditahan

ANKARA: Seorang pelancong Britain berdepan hukuman penjara tiga tahun selepas dia ditahan pihak berkuasa Turki kerana mengambil syiling purba yang ditemuinya ketika menyelam di sebuah kawasan laut di negara itu.

Toby Robyns, 52, ditahan di Lapangan Terbang Milas-Bodrum ketika dia dan keluarganya menunggu penerbangan pulang ke Britain selepas bercuti di negara tersebut.

Bagaimanapun, Robyns ditahan oleh pengawal keselamatan yang menemukan 13 syiling lama di dalam beg miliknya.

Bapa kepada lima anak itu kini berdepan hukuman tiga tahun penjara selepas dia dituduh gagal memaklumkan pihak berkuasa tentang penemuan artifak berharga.

Pemandu ambulans dari Southwick, Sussex Barat itu dipercayai  mengambil syilingitu semasa menyelam di lautan ketika bercuti selama dua minggu di Turgutreis.

“Dia menemukan 13 syiling itu di kawasan batu-batuan dan pasir,” kata rakan keluarga tersebut, James Stoneham kepada The Sun.

“Apabila dia ingin menaiki kapal terbang untuk pulang, mereka menahan dan memeriksa beg yang dibawanya,” katanya lagi.

Pada hari seterusnya, Robyns hadir ke mahkamah dan ditahan buat sementara waktu sehingga juri mencapai keputusan sama ada dia akan dijatuhkan hukuman atau tidak.

Tetapi disebabkan Turki mempunyai cuti umum pada bulan ini, proses itu boleh mengambil masa selama empat hingga enam minggu.

Robyns menemukan syiling itu kira-kira enam kilometer dari pulau Yassi Ada berdekatan pantai Bodrum, yang merupakan kawasan kejadian 25 kapal karam yang terjadi pada kurun keempat hingga kurun ke-16.

Gempa bumi 5.3 magnitud yang melanda kawasan itu baru-baru ini, mungkin telah mengalihkan kedudukan syiling-syiling itu sehingga berada dekat dengan pesisiran pantai. - Mail Online

John Robyns

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiada Kru Kabin Pakai Bikini

Artikel Lain