suria

Banduan Rakyat Malaysia Dipercayai 'Balik Kampung' - Polis Bali

JAKARTA: Polis Indonesia mendapat maklumat bahawa rakyat Malaysia, Tee Kok King yang lari dari penjara Bali pada June lalu bersama tiga lagi banduan mungkin berada di negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Bali, Inspektor Jeneral Petrus Reinhard Golose berkata, seorang lagi banduan yang lari iaitu rakyat Australia, Shaun Edward Davidson dipercayai masih berada di Indonesia.

"Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dan mengesyaki banduan terlibat berada di negara asalnya," kata Petrus.

Beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia sedia membantu mengesan Kok King tetapi jika ditemui, dia tidak akan diekstradisi ke Indonesia kerana undang-undang Malaysia tidak membenarkan rakyatnya diekstradisi.

"Akan menjadi sesuatu yang sukar jika banduan terlibat berada di negaranya, tetapi kita akan tetap bekerjasama dengan Malaysia," katanya.

Mengenai Davidson yang dipercayai berada di Bali, kata Petrus, pihaknya akan meningkatkan pemantauan di sempadan Timor-Leste.

Dua lagi banduan, iaitu rakyat Bulgaria, Nikolov Lliev dan warga India, Sayed Muhammad Said telah ditahan semula di Timor-Leste empat hari selepas mereka meloloskan diri dari penjara.

Keempat-empat banduan terlibat telah menggunakan terowong yang tidak digunakan untuk melarikan diri pada 19 Jun lalu.- The Jakarta Post/Asia News Network

Tee Kok King

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain