suria

Bekas Pemimpin Kanan PULO Ditahan

Gambar hiasan.

BANGKOK: Ismail Ternang, bekas pemimpin kanan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), ditangkap di Malaysia beberapa hari lepas kerana didakwa mempunyai kaitan dengan penyeludupan senjata.

Pemerintah Keempat Tentera Thailand Lt Jen Piyawat Nakwanich mengesahkan penangkapan bekas pemimpin itu kepada Bernama ketika dihubungi pada Khamis.

"Saya dimaklumkan bahawa dia ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia. Anggota saya telah membuat pemeriksaan balas (dengan pihak boleh dipercayai) tentang laporan mengenai penangkapannya," kata beliau, tanpa memberi penjelasan lanjut tentang perkara itu.

Menurutnya bekas pemimpin PULO itu tidak tersenarai sebagai orang yang dikehendaki kerana melakukan kesalahan keselamatan atau dikeluarkan waran tangkap terhadapnya di Thailand sejak dibebaskan daripada penjara dua tahun lepas, tetapi pihak berkuasa melakukan pemantauan biasa untuk "mengawasi pergerakannya".

Piyawat berkata penangkapan bekas pemimpin itu adalah urusan Malaysia dan tidak ada kena-mengena dengan Thailand.

Sumber berkata Ismail ditangkap beberapa hari lepas di restoran kendalian keluarganya di Perak berikutan siasatan polis Malaysia terhadap satu kes terdahulu.

Dia ditangkap selepas polis melancarkan operasi di Kedah beberapa hari lepas yang menyaksikan seorang lelaki ditembak mati dalam satu pertempuran singkat.

Lelaki yang terbunuh itu disyaki terlibat dengan kegiatan menyeludup senjata di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

"Polis memeriksa telefon bimbit si mati dan mendapati nombor telefon Ismail di dalamnya. Ini membawa kepada penangkapannya beberapa hari kemudian," kata sumber itu tentang Ismail, yang pernah mengetuai pasukan bersenjata PULO dalam perjuangan pertubuhan itu di selatan Thailand.

Sumber itu juga mendakwa Ismail telah dibebaskan polis Malaysia, tetapi Bernama tidak dapat mengesahkan perkara itu.

Ismail, 72, yang tinggal di Kampung Ternang, Panarek di wilayah Pattani, dibebaskan daripada penjara dua tahun lepas setelah menjalani hukuman penjara 17 tahun selepas mendapat pengampunan daripada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Dia dibebaskan pada petang Aidilfitri 2015 sebagai tanda hubungan muhibah daripada kerajaan Thailand.

Dalam temu bual dengan Bernama di rumahnya di Pattani tahun lepas, Ismail berkata selepas dibebaskan daripada penjara, dia bekerja dengan pihak berkuasa di selatan Thailand khususnya Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) bagi membawa pembangunan ekonomi kepada rakyat.

Menurutnya kerajaan perlu memberi lebih banyak perhatian terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial penduduk tempatan dengan melaksanakan program bersesuaian yang boleh meningkatkan taraf hidup mereka kerana cara itu berkesan bagi mencegah mereka daripada terlibat dengan aktiviti keganasan dan jenayah. - BERNAMA

PULO, Ismail Ternang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain