suria

'Bangku Zakar' Dalam City Metro Di Mexico

APABILA pengguna City Metro di bandar raya Mexico sedang dalam perjalanan ke tempat kerja, mereka melihat sesuatu yang pelik - kerusi berbentuk badan seorang lelaki, lengkap dengan alat sulit serta label di tingkap menunjukkan bangku itu hanya dikhaskan untuk lelaki.

Satu tanda di atas lantai di depan tempat duduk itu menjelaskan: "Perjalanan memang menjengkelkan dengan cara ini, tetapi ia sebenarnya tidak jika dibandingkan dengan derita keganasan seksual yang dilalui oleh wanita ketika berulang-alik setiap hari."

Langkah ini adalah sebahagian daripada kempen oleh Bangsa-Bangsa Bersatu dan pihak berkuasa Bandar Mexico untuk meningkat kesedaran berhubung gangguan seksual dalam pengangkutan awam.

Bangku itu, yang baru-baru ini dipaparkan dalam talian melalui sebuah video kempen menunjukkan beberapa penumpang kelihatan keliru dan cuba untuk duduk di tempat duduk luar biasa itu.

"Sembilan daripada 10 wanita di bandar raya Mexico telah menjadi mangsa pelbagai bentuk keganasan seksual ketika berulang-alik setiap hari," video itu membuat kesimpulan seperti yang dilaporkan oleh The Telegraph.

Kempen ini telah dipuji kerana membawa isu-isu ke hadapan, tetapi ada yang berkata cara ini masih gagal untuk menangani punca sebenar gangguan seksual terhadap wanita di Mexico.

Apabila kempen tersebut bermula awal bulan ini, wakil Wanita Mexico PBB Ana Güezmes menyatakan bahawa 'kebanyakan manusia tidak menganggap gangguan seksual sebagai keganasan. Bercakap tentangnya kepada seorang wanita, bersiul kepada mereka, dianggap sangat biasa.'

"Kempen ini bertujuan untuk menukar pandangan ini bagi menghentikan kaum lelaki daripada berfikir bahawa gangguan seksual adalah perkara biasa.

"Ramai lelaki yang tidak mengganggu wanita dan kami mahu mereka ini berani dan tampil menyatakan bahawa gangguan ini tidak normal." -The Jakarta Post / Asia News Network

City Metro, bangku zakar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain