suria

O'Reilly Tak Nafi Dituduh Cabul

WASHINGTON: Penyampai berita Fox News, Bill O'Reilly dituduh mencabul sekurang-kurangnya lima wanita menyebabkan personaliti itu dan stesen televisyen itu terpaksa membayar pampasan mencecah jutaan dolar kepada mangsa.

Semua mangsa dikaitkan dengan rangkaian televisyen itu dikatakan menerima sejumlah AS$13 juta (RM57.53 juta) dalam beberapa kes untuk tempoh 15 tahun supaya mangsa menutup mulut dan bersetuju tidak memfailkan saman terhadap Fox News.

Menerusi laman webnya, O'Reilly tidak menafikan semua tuduhan, namun berkata, populariti menjadikannya sasaran kepada saman daripada individu yang mahukan bayaran untuk mengelak publisiti buruk.

"Sejak 20 tahun di saluran Fox News, tiada siapa pernah memfailkan aduan terhadap saya dengan Jabatan Sumber Manusia atau menerusi talian tanpa perlu mendedahkan identiti," katanya.

O'Reilly yang kini berusia 67 tahun adalah antara personaliti popular dalam televisyen Amerika. Program "The O'Reilly Factor adalah program berita paling tinggi tontonan untuk suku pertama 2017 dengan purata lebih 3.7 juta penonton.

The New York Times melaporkan tiga lagi kes gangguan di mana dua daripadanya berunsur seks dan satu lagi mendakwa dibuli secara lisan oleh O'Reilly.

Menurut laporan akhbar itu, lima wanita terbabit didapati sama ada pernah bekerja atau tampil dalam program beliau, "The O'Reilly Factor," atau menjadi kakitangan dalam beberapa program Fox yang lain.

Kebanyakan wanita itu menuduh O'Reilly menggunakan kedudukan berkuasa di Fox untuk memaksa mereka memberikan khidmat seks. Penyelesaian kewangan terbaharu adalah pada tahun lalu, kata laporan akhbar itu. -AFP

O'Reilly, Fox News

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain