suria

Ikan Mentah, Air Hujan Menu Nelayan Hanyut

MANILA: Nelayan muda yang hanyut di laut selama dua bulan akibat ribut mampu bertahan dengan hanya memakan ikan mentah, lumut dan minum air hujan.

Rolando Omongos, 21, dan bapa saudaranya menaiki bot kecil bersama nelayan lain dan belayar bersama sebuah bot induk dari General Santos, selatan Filipina pada 21 Disember lalu.

Bagaimanapun, bot Omongos dan bapa saudaranya terpisah daripada kumpulan berkenaan akibat ribut sebelum kehabisan minyak.

Lebih menyedihkan apabila bapa saudaranya, Reniel Omongos, 31, mati sebulan selepas itu akibat kebuluran dan terdedah kepada cahaya matahari.

“Setiap hari hampir empat kapal melintasi kami. Saya melambai tetapi kapal itu tidak berhenti untuk membantu kami.

“Kapal dan bot nelayan itu mungkin tidak dapat melihat kami terumbang ambing di dalam bot kecil,” katanya.

“Saya tidak pernah berputus asa dan berdoa supaya seorang daripada kami dapat pulang dan menceritakan kisah ini,” jelasnya yang diselamatkan di Papua New Guinea.

Omongos tiba di lapangan terbang Manila pada Khamis selepas tiga minggu diselamatkan oleh sebuah bot nelayan Jepun.

“Saya menangis tanpa henti ketika diselamatkan. Saya terlalu lemah untuk berdiri dan mereka terpaksa mendukung saya,” katanya kepada wartawan.


Omongos, Filipina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain