suria

Skandal Rasuah: Bekas Presiden Geun-hye Sedia Disoal Siasat

SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan Park Geun-hye bersedia untuk disoal siasat oleh pihak pendakwa pada Selasa atas tuduhan melakukan rasuah yang menyebabkan beliau dipecat awal bulan ini, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.    

Park dijadual tiba di Pejabat Pendakwaan Daerah Tengah Seoul pada 9.30 pagi dan akan melalui sesi soal siasat sepanjang hari atas kesalahan melakukan rasuah, menyalahgunakan kuasa dan membocorkan rahsia kerajaan dalam 13 kes berbeza.  

Terdahulu, peguam beliau Son Bum-kyu berkata Park akan menyampaikan ucapan kepada umum susulan skandal rasuah berkenaan.

Namun belum dapat dipastikan bila dan di mana beliau akan menyampaikan ucapan itu.  Park pemimpin pertama dipilih secara demokratik yang dipecat, dinamakan sebagai suspek jenayah atas kesalahan salah guna kuasa dan bersekongkol dengan rakan lamanya Choi Soon-sil memeras wang daripada konglomerat tempatan.  

Para pemerhati meramalkan sesi soal siasat mungkin berlarutan sehingga lewat tengah malam. Selain itu, Lee Jae-yong pewaris Kumpulan Samsung juga ditahan dan dituduh atas kesalahan hampir sama namun menafikan segala tuduhan ke atasnya.

Sebelum ini, Park berjaya mengelak daripada disiasat namun keputusan mahkamah meluluskan permohonan pemecatan beliau pada awal bulan ini, sekaligus melucutkan imuniti yang melindungi dirinya daripada didakwa atas kesalahan jenayah. 

Park menjadi bekas presiden keempat yang melalui proses soal siasat atas tuduhan melakukan jenayah selepas Roh Tae-woo, Chun Doo-hwan dan mendiang Roh Moo-hyun. 

Roh Moo-hyun membunuh diri pada 2009 ketika siasatan berhubung ahli keluarganya menerima dana haram sedang berlangsung. -Bernama

Park Geun-hye, Korea Selatan

Artikel Lain