suria

CEO Uber 'Bengang' Pemandu Merungut Gaji Rendah

Paparan skrin rakaman video CEO Uber Travis Kalanick bertengkar dengan pemandu syarikat itu yang disiarkan Bloomberg di Youtube.
SAN FRANCISCO: Ketua Eksekutif Uber Technologies Inc Travis Kalanick berkata sudah tiba masanya untuk dia bersikap matang dan mendapatkan bantuan selepas tersebarnya satu video yang menunjukkan dia telah bertengkar dengan seorang pemandu perkhidmatan itu yang merungut tentang kadar gaji.


Bloomberg telah menyirakan video Kalanick, pengasas bersama syarikat itu, bertekak dengan seorang pemandu yang memberitahunya bahawa kadar gaji telah dipotong dan terpaksa menerima gaji rendah.


Kalanick yang berusia 40 tahun bertindak balas dengan memarahi pemandu berkenaan.

Video ini adalah yang terbaharu selepas beberapa siri laporan yang memalukan perkhidmatan perjalanan ini muncul.


Minggu lalu, unit kenderaan pandu sendiri Alphabet Inc Waymo menyaman Uber kerana didakwa menciplak reka bentuk berkaitan kenderaan autonomi, di mana dakwaan itu dinafikan Uber.

Uber juga sedang menyiasat dakwaan gangguan seksual dalam organisasinya sendiri.

Awal bulan ini, seorang bekas jurutera wanita di Uber dalam posting yang dibaca secara meluas berkata pengurus dan pegawai sumber manusia di syarikat itu tidak menghukum pengurusnya selepas laporan berhubung kes seksual dibuat, malah mengancam dirinya untuk memberikan ulasan buruk tentang prestasi kerjanya.

Dalam video yang disiarkan oleh Bloomberg pada Selasa, pemandu tersebut memberitahu Kalanick, yang menjadi penumpang, bahawa 'orang ramai sudah tidak percayakan anda lagi' dan mengadu bahawa kadar gaji untuk pemandu telah diturunkan.

Kalanick menjawab: "Ada orang yang tidak suka bertanggungjawab atas masalah mereka sendiri. Mereka meletakkan semua kesalahan kepada orang lain mengenai kehidupan mereka. Semoga berjaya!"

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat hari Selasa, Kalanick berkata dia berasa malu dengan layanannya terhadap pemandu itu, dan memohon maaf kepada pemandu berkenaan dan lain-lain.

"Video ini jelas satu gambaran mengenai diri saya dan kritikan yang kami terima adalah satu peringatan bahawa saya secara asasnya mesti berubah menjadi seorang pemimpin sebenar dan matang.


"Inilah kali pertama saya sanggup mengakui bahawa saya memerlukan bantuan kepimpinan dan saya berhasrat untuk mendapatkannya," katanya.

Artikel Lain