suria

Korea Utara Ada Banyak Stok Senjata Kimia - Seoul

SEOUL: Sekumpulan pakar Korea Selatan mendakwa Korea Utara mempunyai hampir 5,000 tan senjata kimia termasuk bahan toksin yang digunakan untuk membunuh abang tiri kepada pemimpin negara itu sendiri.

'Agen Saraf VX' disenaraikan sebagai senjata yang telah dimusnahkan oleh PBB sebelum ini telah dikesan dalam pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) minggu lalu, jelas polis Malaysia pada Jumaat.

Berikutan insiden itu, pihak polis Malaysia telah menahan tiga individu termasuk seorang wanita dari Indonesia, Vietnam serta lelaki dari Korea Utara, namun masih mencari tujuh orang lagi yang dipercayai empat daripadanya telah terbang ke Pyongyang.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan memberitahu dalam Kertas Putih Pertahanan pada 2014 bahawa Korea Utara mula mengeluarkan senjata kimia pada 1980 dan dianggarkan mempunyai stok kira-kira 2,500 hingga 5,000 tan.

Korea Utara mempunyai kemudahan pengeluaran senjata kimia di lapan lokasi termasuk pelabuhan timur laut Chongjin dan bandar barat laut Sinuiju, katanya dalam edisi dokumentari pada 2012.

"Korea Utara dipercayai mempunyai simpanan besar VX dan mudah dihasilkan dengan kos yang rendah," kata penganalisis Lee Il-Woo di Rangkaian Pertahanan Swasta Korea kepada AFP.

Jelasnya, VX yang dibangunkan kira-kira 100 tahun yang lalu, boleh dihasilkan di makmal kecil atau mempunyai kemudahan untuk menghasilkan racun perosak, katanya.

"Kimia dan biologi boleh dihantar melalui pelbagai cara seperti meriam, peluru berpandu dan kapal terbang", katanya.

Bahan tersebut menyerap ke seluruh badan menerusi kulit, mata atau hidung, tidak mempunyai rasa dan bau serta mampu merosakkan sistem saraf utama mangsa.

Profesor sains ketenteraan Kim Jong-ha dari Universiti Hannam berkata, Utara mempunyai 16 jenis agen saraf termasuk VX dan sarin, yang digunakan ketika serangan di Tokyo pada tahun 1995 yang telah mengorbankan 12 nyawa.

Jong-ha berkata, ia juga mempunyai bahan kimia maut lain, termasuk ejen sesak nafas, kulit lecur dan pendarahan  serta 13 jenis senjata biologi seperti anthrax dan wabak berkaitan dengan penyakit taun.

Korea Utara telah tidak menandatangani konvensyen senjata kimia global yang melarang pengeluaran, penyimpanan stok dan penggunaan senjata kimia.

Lebih daripada 160 negara menandatangani perjanjian itu, yang berkuat kuasa pada 1997. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Penawar Virus HIV Sudah Ditemui?

Artikel Lain