suria

Lima Maut Pesawat Ringan Terhempas Di Pusat Beli-Belah

SYDNEY: Lima orang terkorban selepas sebuah pesawat ringan terhempas di sebuah pusat membeli-belah dekat Melbourne pada Selasa.

Polis berkata, lima mangsa terdiri daripada seorang juruterbang dan empat penumpang warga Amerika.

Bercakap kepada pemberita, penolong pesuruhjaya polis Victoria, Stephen Leane berkata, pesawat enjin berkembar turboprop Beechcraft King Air itu mengalami masalah enjin dan terhempas di pusat membeli-belah dekat hujung landasan di Lapangan Terbang Essendon.

Saksi memberitahu Australian Associated Press bahawa pesawat berkenaan terhempas sebelum meletup.

"Terdapat lima orang di dalam pesawat itu dan dilihat tiada siapa yang terselamat dalam nahas itu," kata Leane.

Nahas berlaku pada kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan, sejam sebelum gedung itu memulakan operasi.

Tambah Leane, tiada kematian lain dilaporkan selain mangsa yang menaiki pesawat itu. - Reuters

Artikel Sebelum

Artikel Lain