suria

Polis Thai Rampas Sejumlah Besar Dadah Bernilai RM188 Juta

Jen Chakthip Chaijinda
BANGKOK: Polis Thailand mencapai kejayaan besar menumpaskan sindiket dadah di negara itu apabila merampas konsainan besar dadah  bernilai 1.4 bilion Baht (RM188 juta) dan membuat beberapa tangkapan.

Ketua Polisnya, Jen Chakthip Chaijinda berkata, enam lelaki dan seorang wanita, dipercayai anggota sindiket, ditahan dalam operasi berasingan di Bangkok dan Lampang di utara Thailand.

"Harga dadah boleh mencapai tiga kali ganda apabila memasuki pasaran asing. Kira-kira 70 hingga 80 peratus daripada dadah yang dirampas di Thailand disasarkan untuk pasaran asing," kata beliau kepada media, di sini, Isnin.

Menurut beliau, kejayaan polis Thailand bermula Khamis lalu apabila menahan tiga lelaki di kawasan Bangna di Bangkok dan merampas 279,760 pil "Yaba", 16.55 kg "Ice" dan 3.2 kg ketamin.

Sehari selepas insiden itu, polis membuat rampasan terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan apabila merampas 5.88 juta pil "Yaba" di wilayah Lampang, di utara Thailand dan memberkas seorang lelaki.

Chakthip berkata polis menemui lagi 20 kg "Ice" selepas memeriksa kenderaan lelaki tersebut sambil menambah lelaki itu telah mengembara secara berkonvoi menggunakan empat kenderaan.

Tiga kenderaan lain dalam konvoi itu melarikan diri, kata beliau.

Operasi ketiga dilancarkan sehari selepas kejayaan di Lampang, apabila dalam operasi bersama oleh pelbagai agensi, dua lelaki dan seorang wanita ditahan di  Klong San Wah, Bangkok dan 80 kg "Ice" dirampas, kata beliau.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut merampas 7.2 kg heroin, menurut Chakthip sambil menambah bahawa siasatan menunjukkan dadah itu untuk dihantar ke selatan Thailand.

"Pembeli (adah) sedang menunggu," katanya, sambil menambah kedua-dua lelaki dan wanita berkenaan datang dari Uttaradit di utara Thailand.

Polis percaya sejumlah besar dadah yang dirampas dalam operasi tersebut ialah dari kilang-kilang memproses dadah yang terletak jauh di Wilayah Shan dan Wilayah Wa di Myanmar dan diseludup ke Thailand oleh suku kaum Hmong.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain