suria

Serang Makam Sufi: Pakistan Bunuh Lebih 100 Pengganas

SEHWAN: Lebih 100 pengganas dibunuh pihak berkuasa Pakistan sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan Daesh di makam Sufi yang menyebabkan 88 maut pada Khamis lalu.

“Lebih 100 orang pengganas berjaya dibunuh sejak malam kelmarin,” demikian kata pihak tentera.

Tambah kenyataan itu, sejumlah lagi telah ditahan dalam operasi sama yang dilancarkan.

Kebangkitan kumpulan Daesh dan Taliban menjadi tamparan hebat kepada Pakistan dan serangan tersebut menjejaskan keyakinan terhadap keselamatan negara selepas beberapa dekad memerangi militan.

Pihak polis bergegas mengetatkan kawalan terhadap makam Lal Shahbaz Qalandar iaitu seorang ulama abad ke-13 di sini, kira-kira 200 kilometer dari Karachi.

Makam lama yang berlantaikan marmar putih dicemari dengan darah, kasut, tudung dan botol susu bayi selepas letupan bom bunuh diri oleh anggota Daesh.

Pasukan keselamatan memberitahu, jumlah orang awam yang terkorban dalam serangan tersebut meningkat kepada 88 orang termasuk sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak menjadikannya serangan maut tertinggi di Pakistan sejak serangan ke atas sebuah sekolah di Peshawar pada 2014.

Perdana Menteri, Nawaz Sharif dan Ketua Pasukan Tentera, Jeneral Qamar Javed Bajwa telah melawat bandar Sehwan di wilayah Sindh yang menjadi lokasi serangan terbaharu itu dan berjanji akan menghapuskan militan dengan menggunakan sepenuhnya kekuatan tentera. – AFP



Sehwan, makam sufi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Telefon Hitler Dilelong

Artikel Lain