suria

Kerajaan Thai, Mara Patani Selesai Runding Isu Zon Keselamatan

BANGKOK: Para perunding Kerajaan Thailand dan Mara Patani (Majlis Syura Patani) selesai mengadakan rundingan tentang aspek teknikal Zon Selamat yang dicadangkan penubuhannya di selatan Thailand.

Jurucakap Mara Patani Dr Abu Hafiz al-Hakim berkata kejayaan memuktamadkan rundingan itu merupakan suatu perkembangan positif berhubung isu berkenaan.

"Kedua-dua pasukan teknikal itu selesai berunding tentang Kerangka Umum Mengenai Pelaksanaan Zon Selamat. Ia akan dikemukakan kepada mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama-Proses Dialog Perdamaian akhir bulan ini," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Menurut beliau, kedua-dua pihak mungkin mengeluarkan kenyataan bersama kepada media selepas mesyuarat itu lewat bulan ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lokasi mesyuarat itu akan diadakan, tetapi katanya mungkin di Kuala Lumpur seperti mesyuarat lain sebelum ini, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pemudahcara bagi proses damai di selatan Thailand.

Sebelum ini, Abu Hafiz mengumumkan satu projek perintis mengenai Zon Selamat di selatan Thailand akan dilaksanakan tahun ini.

Thailand dan Mara Patani, badan induk yang mewakili pelbagai kumpulan di selatan Thailand, termasuk "Barisan Revolusi Nasional" (BRN), yang amat berpengaruh, telah mengadakan beberapa pusingan rundingan di Kuala Lumpur.

Menurut pemerhati, sehingga kini, sengketa yang melanda selatan Thailand telah meragut lebih 6,000 nyawa.

Mara Patani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Siti Aisyah Pendiam, Naif - Jiran

Artikel Lain