suria

Taiwan Bimbang Kehadiran Armada Tentera Laut China

Kapal pengangkut pesawat pertama China, Liaoning berlabuh di lokasi yang tidak didedahkan.

BEIJING: Taiwan menyuarakan kebimbangan terhadap kehadiran armada tentera laut China di kawasan perairan negara pulau itu pada Isnin, tindakan yang dijangka meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Taiwan, kapal pengangkut pesawat China, Liaoning diiringi lima buah kapal perang lain belayar di Selat Bashi yang terletak antara Taiwan dan Filipina sebelum menuju ke kawasan pertikaian Laut China Selatan.

Kementerian itu menambah, sejumlah pesawat tempur F-16 turut dilihat mengiringi kapal pengangkut tersebut tetapi China enggan mengulas lanjut tentang dakwaan Taiwan.

"Tindakan China itu dilihat sengaja mempamerkan kekuatan terhadap Taiwan susulan isu status Taipei mahu memerintah secara bersendirian," jelas kementerian tersebut.

Susulan kehadiran armada perang China itu, Taiwan mengarahkan kesemua tenteranya berada dalam keadaan bersedia dan memantau rapi pergerakan serta aktiviti kapal Liaoning.

Beijing masih menganggap Taiwan merupakan satu daripada wilayah mereka walaupun Taipei menegaskan mereka mahu memiliki pentadbiran sendiri selepas kedua-dua pihak berpisah pada perang saudara 1949.

Susulan kebimbangan Taiwan itu, China menerusi Kementerian Pertahanannya berkata, kehadiran armada tentera laut tersebut merupakan rutin latihan di kawasan laut terbuka.

Latihan tentera laut oleh China sering diadakan sejak akhir-akhir ini, dipercayai strategi Beijing untuk mempamerkan kekuatannya kepada dunia.




Artikel Berikut

Artikel Lain