suria

Jepun Dilanda Gempa Bumi 6.9 Magnitud, Amaran Tsunami Dikeluarkan

Pengarah bahagian pemerhatian gempa bumi dan gunung berapi Agensi Meteorologi Jepun, Koji Nakamura menunjukkan peta yang mengandungi maklumat gempa bumi pada sidang akhbar di Tokyo, Selasa. -fotoREUTERS
TOKYO: Gempa bumi kuat berukuran 6.9 skala Richter melanda bahagian timur laut Jepun awal hari Selasa, menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami untuk pantai di rantau ini, termasuklah di wilayah Fukushima.

Tsunami dengan ketinggian ombak kira-kira tiga meter (9.9 kaki) mungkin melanda bahagian pantai timur laut, termasuk di Fukushima, di mana terletaknya pusat loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi, yang pernah menjadi salah sebuah bencana nuklear paling teruk di dunia.

Setakat ini, beberapa gelombang tsunami, dengan yang terbesar berukuran 90 sentimeter (tiga kaki) telah melanda kawasan berkenaan, penyiar awam NHK melaporkan.

USGS berkata, gempa berlaku kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer.


Agensi meteorologi Jepun sebelum ini menganggarkan gempa berukuran 7.3 magnitud.

Walaupun gempa bumi itu turut menggegarkan bangunan di Tokyo, tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan.

Laporan awal berkata, tiada kerosakan ketara kelihatan di loji nuklear Fukushima.


Fukushima yang terletak di utara Tokyo merupakan pusat loji kuasa nuklear yang sebelum ini musnah susulan kejadian tsunami dan gempa bumi luar pesisir pada 2011.

Kira-kira 18,000 terkorban dalam bencana itu.
tsunami, gempa bumi, Fukushima

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain