suria

Lima Kampung Rohingya Musnah Dibakar

GAMBAR fail menunjukkan dua penduduk Rohingya melewati kawasan kediaman yang musnah akibat dibakar oleh kumpulan pelampau Buddha di tengah Myanmar. - AFP

YANGON: Kira-kira 1,250 rumah dan bangunan musnah akibat operasi memburu pemberontak yang dilancarkan oleh tentera Rohingya ke atas kampung-kampung yang dihuni etnik Islam Rohingya.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) dalam laporannya berkata, imej yang diambil dari satelit menunjukkan kawasan yang musnah akibat operasi ketenteraan itu, sekali gus membangkitkan kebimbangan berlakunya penindasan terhadap etnik minoriti berkenaan.

Pengarah HRW di Asia, Brad Adams menyifatkan perkembangan terbabit sebagai satu amaran apabila imej satelit juga menunjukkan beberapa buah kampung musnah akibat dibakar.

"Serangan ke atas lima kampung etnik Rohingya merupakan kejadian yang disengajakan dan kerajaan Myanmar perlu menyiasat serta menghukum pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Myanmaer mendakwa kurang daripada 300 buah rumah musnah dibakar militan sebagai cubaan mencetuskan perbalahan antara tentera dan orang awam.

Keganasan terbaharu itu bermula sejak 9 Oktober lalu apabila tiga askar yang mengawal sempadan dibunuh oleh kumpulan bersenjata yang didakwa didalangi oleh etnik Rohingya.

Kejadian tersebut menyebabkan kerajaan melancarkan operasi memburu militan dan sekurang-kurangnya 70 orang dilaporkan terbunuh dan 400 suspek ditahan.

Operasi terbabit turut menyebabkan lebih 30,000 penduduk Rohingya menjadi pelarian. - AFP

Rohingya, HRW

Artikel Sebelum

Artikel Lain