suria

Pertandingan Ratu Cantik Transgender Diadakan Secara Rahsia Di Indonesia

Model transgender Indonesia, Qie Nabh Tappii memegang trofi selepas memenangi pusingan akhir Miss Waria Indonesia 2016, pertandingan ratu untuk golongan transgender di Jakarta, Indonesia. -fotoEPA
JAKARTA: Orang ramai bersorak apabila sekumpulan wanita 'Mak Nyah' di Indonesia menggayakan gaun berkilat dalam satu pertandingan ratu cantik yang diadakan malam Jumaat.

Pertandingan itu diadakan secara rahsia bagi mengelak kritikan golongan 'berhaluan keras' (hardliner) di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu.


Pie Nabh Tappii, 28, memenangi gelaran Ratu Transgender Indonesia, menewaskan 18 peserta lain yang bersaing.

"Saya gembira, tetapi saya juga mahu menangis... saya tidak menjangka kemenangan ini," kata Tappii kepada AFP selepas dinobatkan sebagai pemenang.

Selain mahkota, Tappii juga menerima hadiah termasuk wang tunai 10 juta rupiah (RM3,120) dan trofi setinggi 2 meter.

Pertandingan ratu cantik di Jakarta, kebanyakannya diadakan secara rahsia dengan hanya segelintir media dijemput, manakala penganjur memberi amaran kepada penyokong untuk tidak berkongsi gambar acara itu di media sosial kerana bimbang menimbulkan kemarahan golongan radikal agama.

Golongan 'hardliner' di negara penduduk Islam paling ramai di dunia ini telah berkembang dan mereka semakin berani sejak kebelakangan ini.

Mereka telah menghentikan acara yang memberi tumpuan kepada isu-isu wanita dan telah mensasarkan minoriti Kristian, menuntut penutupan gereja dan menghentikan kerja-kerja komuniti mereka.

Perlembagaan Indonesia secara rasmi mengiktiraf enam agama berbeza dan kebanyakan 255 juta penduduknya mengamalkan Islam yang sederhana.

Tetapi pengkritik berkata pengaruh kumpulan hardliner dan keengganan pihak berkuasa menangani mereka kerana takut dilabel anti-Islam, telah mencetuskan bahaya, termasuk terhadap komuniti transgender.
ratu cantik Mak Nyah, Mak Nyah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain