suria

13 Pekerja Maut Dalam Kebakaran Kilang Haram

GHAZIABAD: Tiga belas pekerja yang sedang tidur dalam sebuah kilang pakaian haram maut apabila premis itu terbakar awal pagi Jumaat.

Kejadian melibatkan kilang di kawasan Sahibabad di New Delhi itu berlaku pada kira-kira pukul 4.30 pagi (waktu tempatan). 

Api merebak dari tingkat bawah bangunan sempit itu yang digunakan untuk membuat jaket kulit.

“Seramai 13 orang maut dan dua atau tiga lagi dirawat di hospital,” kata jurucakap polis tempatan, Bhagwat Singh.

Pegawai bomba tempatan, Abbas Hussain ber­kata, dua pekerja terselamat selepas mereka tersedar dari tidur semasa kebakaran berlaku.

“Mereka menjerit untuk membangunkan yang lain sambil berlari keluar te­tapi pekerja lain terus tidur ataupun mereka sudah terlambat,” kata Abbas.

Menurutnya, semua mangsa maut kerana terhidu asap daripada timbunan kulit di atas tangga kilang itu yang dan sesak dengan barang-barang.

“Keadaan di kilang itu tidak tersusun. Kilang ini pasti tidak berlesen tetapi kami akan melakukan siasatan menyeluruh untuk mengesahkannya,” tambah pegawai tersebut.

Bulan lalu, lapan pekerja terbunuh dalam satu letupan kuat di sebuah kilang bunga api di negeri Tamil Nadu, manakala kebakaran besar di sebuah kilang mercun di Madhya Pradesh pada Mei 2014 pula meragut 15 nyawa. – AFP



Sahibabad, New Delhi, Bhagwat Singh

Artikel Sebelum

Artikel Lain