suria

Daesh Pertahan Mosul, Iraq Sukar Rampas Semula Mosul

Militia Kurdis Peshmerga bersiap sedia untuk bertempur menentang militan Daesh di perkampungan Topzawa dekat Bashiqa, Mosul, Iraq.

ARBIL: Militan Daesh memberi tentangan sengit kepada tentera Iraq dan pejuang Kurdis dalam pertempuran untuk merampas semula bandar Mosul daripada kumpulan pengganas itu.

Perkara itu didedahkan Komander tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Iraq, Leftenan Jeneral Stephen Townsend.

Susulan itu, katanya, tentera Iraq terpaksa menempuh jerangkap samar, penembak curi dan menggunakan bom kereta bagi mempertingkatkan kawalan ke atas bandar itu.

“Setiap hari, kami terpaksa berhadap dengan tembakan curi, letupan bom buatan sendiri dan letupan bom kereta selain bedilan peluru berpandu anti kereta kebal,” katanya di Baghdad.

Menurut Townsend, pegawai-pegawai tentera AS juga menyemak semula anggaran bilangan pejuang Daesh di Mosul dan kawasan sekitarnya.

“Daesh dipercayai memiliki antara 3,000 hingga 5,000 pejuang di Mosul dan 1,000 hingga 2,000 lagi di sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, militia Kurdis mengumumkan serangan terbaru pada waktu subuh bagi menawan Bashiqa di timur laut Mosul di mana kira-kira 10,000 pejuangnya terlibat bagi menawan semula bandar itu.

Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim berkata, militia Kurdis yang dikenali sebagai Peshmerga itu telah memohon dan menerima bantuan tentera Turki.

“Mereka (Peshmerga) meminta bantuan kami di pangkalan berdekatan Bashiqa. Kami menyediakan sokongan artileri, kereta kebal dan meriam katak,” kata Yildirim kepada pemberita di barat Turki kelmarin.

Mosul merupakan kubu kuat terakhir militan Daesh di negara itu.

Militan Daesh menawan Mosul dan menubuhkan sebuah peme­rintahan khalifah pada Jun 2014. – AFP





Mosul, Daesh, Iraq, Stephen Townsend

Artikel Lain