suria

Terganggu Aplikasi Barbie Punca Nahas Ragut Nyawa Pesara

Gambar hiasan. Foto directasia.com

KECUAIAN seorang ibu mengakibatkan kemalangan yang mengorbankan seorang pesara, dikatakan berpunca terganggu dengan aplikasi Barbie di telefon anak perempuannya berusia empat tahun, perkara itu didengar di mahkamah.

Bekkie Mills, 25, sedang melihat peranti itu selama beberapa saat sebelum kereta Audi A4 miliknya memasuki laluan salah dan merempuh sebuah kereta lain.

Joseph Willis, 86, merupakan penumpang di dalam kereta Peugeot 308 yang dirempuh Mills.

Willis mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia dua hari kemudian.

Kemalangan berlaku di A350 dekat Blandford, Dorset, pada kira-kira pukul 3.10 petang 9 November tahun lalu.

Telefon mudah alih tersebut diperiksa dan ditemui di lokasi kemalangan.

Polis mengenal pasti aplikasi Barbie di telefon tersebut sedang berfungsi semasa kejadian.

Mills yang berasal dari Verwood, Dorset di England mengaku bersalah memandu tanpa lesen dalam keadaan cuai sehingga mengakibatkan kematian.

Hakim, Peter Johnson menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Mills, dan dilarang memandu selama dua tahun.

Johnson berkata: "Ia merupakan satu insiden tragik, disebabkan satu tindakan tidak sampai 10 saat, tetapi meninggalkan kesan selama-lamanya." - Mail Online



Artikel Berikut

Artikel Lain