suria

HRW Gesa Myanmar Tarik Sekatan Bantuan Kemanusiaan Etnik Rohingya

SEORANG anggota polis Myanmar mengawal kawasan kem yang dihuni etnik Islam Rohingya di ibu negeri Rakhine, Sittwe pada 13 Oktober 2016. - AFP

YANGON: Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) menggesa kerajaan Myanmar untuk menarik semula sekatan terhadap bantuan kemanusiaan yang sepatutnya disalurkan kepada etnik Islam Rohingya di utara negeri Rakhine.

Kumpulan hak asasi itu baru-baru ini berkata, pihak keselamatan kerajaan melancarkan operasi menyekat pemberian bantuan kepada berpuluh-puluh ribu penduduk Rohingya menyebabkan etnik itu terpaksa menjadi pelarian.

Pengarah HRW Asia, Brad Adams berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan penderma juga perlu menggesa kerajaan Myanmar memastikan bekalan bantuan itu tiba ke destinasi sewajarnya.

"Keganasan yang berlaku di utara Rakhine baru-baru ini menyebabkan pihak tentera menyekat semua agensi kemanusiaan yang menyediakan bantuan perubatan dan makanan.

"Etnik Rohingya terutamanya antara golongan yang berdepan risiko terjejas akibat tindakan kerajaan itu sejak kempen pembersihan etnik pada 2012," katanya menerusi satu kenyataan.

Sejak beberapa minggu lalu, Rakhine kembali bergolak akibat keganasan susulan serangan individu dan kumpulan bersenjata ke atas pusat kawalan sempadan Myanmar-Bangladesh menyaksikan lima anggota keselamatan negara itu terbunuh.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan terbabit tetapi kerajaan Myanmar menyalahkan etnik Rohingya dan bertindak membalas dendam ke atas etnik tersebut.

Namun HRW berkata, laporan perkembangan semasa di Rakhine hanya bergantung kepada sumber kerajaan Myanmar memandangkan wartawan tidak dibenarkan memasuki negeri tersebut.

Pertubuhan itu menjelaskan, lebih 50,000 orang masih terperangkap di Maungdaw tanpa bekalan yang mencukupi, sekali gus memberi kesan terhadap program kesihatan kepada golongan pelarian.

"Tanpa pergerakan bebas, penduduk yang cedera atau sakit tidak dapat dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Kerajaan Burma mempunyai tanggungjawab untuk mencari dan menahan pihak yang bertanggungjawab dalam serangan di pos kawalan.

"Namun mereka juga perlu menghormati hak asasi manusia dengan memastikan kawasan yang kekurangan makanan mendapat bantuan sewajarnya selain membenarkan wartawan dan aktivis melakukan pemantauan," jelas Adams.

Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Lain