suria

Abu Sayyaf Bebas Tebusan Norway

TEBUSAN warga Kanada, Robert Hall (kanan) dan tebusan Norway, Kjartan Sekkingstad bergambar bersama dua anggota militan Abu Sayyaf di lokasi dan tarikh yang tidak diketahui. Hall dipenggal oleh kumpulan bersenjata itu pada Jun lalu manakala Sekkingstad dibebaskan pada 17 September 2016. - REUTERS

MANILA: Militan Abu Sayyaf membebaskan seorang tebusan Norway yang ditahan sejak hampir setahun lalu di selatan Filipina selepas wang tebusan dibayar kepada kumpulan bersenjata itu.

Jurucakap kumpulan pengganas itu, Abu Ramie berkata, mangsa yang dikenali sebagai Kjartan Sekkingstad, 56, dibebaskan di pulau Jolo, kira-kira 1,000 kilometer dari selatan Manila pada Sabtu, selepas militan Abu Sayyaf menerima wang tebusan sebanyak AS$638,000 (RM2.6 juta).

Sekkingstad diculik ketika sedang bercuti di sebuah pusat peranginan mewah pada September 2015 bersama dua orang lelaki Kanada dan seorang wanita Filipina yang telah dibebaskan.

Pada bulan April dan Jun lalu, dua lelaki Kanada terbabit, John Ridsel, 68, dan Robert Hall, 67, dipenggal oleh militan Abu Sayyaf selepas wang tebusan mereka tidak dibayar.

Dalam perkembangan sama, pegawai kerajaan Filipina, Jesus Dureza berkata, Sekkingstad diserahkan kepada kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang kini terlibat dalam rundingan damai dengan kerajaan.

"Mangsa berada dalam keadaan baik dan sihat.

"Dia akan diserahkan kepada pihak berkuasa pada hari ini (Ahad) sebelum dibawa ke bandar Davao," katanya.

Mengulas tentang pembebasan Sekkingstad, Menteri Luar Norway, Borge Brende berkata, berita tersebut menunjukkan perkembangan yang positif.

"Menurut pihak berkuasa Filipina, Sekkingstad kini berada di lokasi selamat," katanya seperti dilaporkan portal Al Jazeera.

Abu Sayyaf

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain