suria

Letupan Di Manhattan 'Serangan Sengaja' - Datuk Bandar

Datuk Bandar, Bill de Blasio (tengah) dan Ketua Jabatan Polis Bandar Raya New York, James O'Neill bercakap pada sidang media berhampiran tempat kejadian letupan di kawasan penempatan Chelsea di Manhattan, New York, malam Sabtu. -fotoAP

NEW YORK: Letupan yang menggegarkan Chelsea, sebuah kawasan penempatan di New York pada Sabtu tidak mempunyai kaitan dengan keganasan pada masa ini, tetapi dipercayai dilakukan dengan sengaja, kata Datuk Bandar, Bill de Blasio.

Menurut Blasio, seramai 29 orang disahkan cedera dalam letupan itu dan salah seorang daripada mereka berada dalam keadaan serius.

Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Polis New York, J. Peter Donald menerusi kenyataan di laman Twitter berkata, letupan itu berlaku kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan di West 23rd Street yang terletak di antara 6th Avenue dan 7th Avenue.

Letupan itu yang berlaku di luar pusat kemudahan dan perkhidmatan untuk orang cacat penglihatan, digambarkan oleh seorang penduduk sebagai sangat kuat dan membingitkan telinga.

Beratus-ratus dilihat telah lari bertempiaran untuk berlindung ketika polis mengepung kawasan itu.

"Ia benar-benar kuat, gegendang telinga saya sakit. Anak lelaki saya berusia 10 tahun sedang duduk di tempat duduk belakang kereta dan letupan memecahkan tingkap belakang," kata Tsi Tsi Mallett, yang sedang memandu di 23rd Street ketika letupan berlaku.

Bagaimanapun anaknya tidak mengalami sebarang cedera.

Neha Jain, 24, yang tinggal di kawasan itu berkata, dia yang sedang duduk di dalam biliknya menonton televisyen, dikejutkan dengan bunyi ledakan yang kuat dan seluruh rumahnya turut merasai gegaran.

"Gambar di dinding jatuh manakala langsir berterbangan seolah-olah ditiup angin kuat.

"Kemudian saya terhidu bau asap dan bergegas turun ke bawah untuk melihat apa yang berlaku, tetapi pihak bomba segera mengarahkan orang ramai beredar."

Polis New York memaklumkan kepada pengguna jalan raya supaya tidak menggunakan laluan di kawasan kejadian bagi mengelakkan kesesakan trafik.

Artikel Sebelum

Abu Sayyaf Bebas Tebusan Norway

Artikel Berikut

Artikel Lain