suria

Kes Polis Britain Mengamuk Jadi Perhatian

LONDON: Seorang anggota polis di Britain, gagal mengawal perasaannya apabila bertindak ganas memecahkan cermin kereta seorang pemandu yang enggan mematuhi arahan untuk keluar dari kereta.

Kejadian tersebut yang berlaku pada Jumaat lalu di Camden, utara London, dirakam sendiri oleh pemandu terbabit, Leon Fontana yang memuat naik video berkenaan di laman sosial Twitter dan telah ditonton lebih hampir 40,000 kali.

Menurut portal Mail Online, video dramatik itu bermula dengan menunjukkan anggota polis terbabit mengarahkan pemandu berusia 25 tahun itu keluar dari kenderaan, tetapi lelaki berkenaan enggan berbuat demikian.

Kemudian polis itu cuba menarik cermin tingkap tetapi gagal, menyebabkan dia berang dan mengetuk cermin tersebut dengan menggunakan cota.

Turut kedengaran Fantana berulang kali berkata dia mempunyai lesen dan insurans tetapi anggota polis berkenaan membalas dengan berkata, "Anda tidak dibenarkan memandu dan sila keluar dari kereta."

Anggota polis itu kemudiannya dilihat hilang kawalan apabila memecahkan cermin depan kereta pekerja mekanik itu sebelum mengeluarkan pisau lipat untuk mencungkil cermin yang retak.

Fontana berkata, insiden itu berlaku disebabkan polis terbabit tersilap orang dan bertindak tanpa mengikut undang-undang.

"Saya terpaksa menghabiskan masa di hospital sepanjang malam selepas mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca.

"Saya masih terkejut dengan kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Polis Metropolitan masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut dan tiada tangkapan dibuat setakat ini manakala ientiti polis terlibat turut tidak didedahkan.

Polis, Mengamuk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain