suria

AS Silap Serang Sasaran, 62 Askar Syria Terkorban

DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 62 askar kerajaan Syria terbunuh dan lebih seratus mangsa cedera akibat serangan tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di sebuah pangkalan tentera di timur negara ini pada Sabtu.

Jurucakap tentera Rusia yang merupakan sekutu Syria, berkata, beberapa jet pejuang melancarkan empat serangan udara terhadap terhadap kedudukan tentera kerajaan yang dikepung oleh militan Daesh di pangkaln udara dekat Deir Ezzor.

"Dua pesawat F-16 dan dua pesawat A-10 memasuki ruang udara Syria dari Iraq untuk melancarkan serangan tersebut.

"Ekoran serangan tentera bersekutu itu, militan Daesh mengambil kesempatan untuk menggempur kedudukan tentera Syria.

"Jika serangan itu berlaku akibat kesilapan koordinat, pihak tentera AS perlu dipersalahkan kerana Washington enggan bekerjasama dengan Rusia untuk menyelaraskan serangan," jelas jurucakap terbabit.

Dalam perkembangan sama, Pentagon mengakui terlibat dalam serangan yang mengorbankan tentera Syria yang disangka militan Daesh.

"Serangan udara itu dihentikan serta-merta selepas dimaklumkan oleh pihak Rusia tentang kesilapan menyerang kedudukan tentera Syria,' jelas Pentagon.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Samantha Power turut menyampaikan rasa kesal Washington terhadap kematian tentera Syria ekoran kesilapan tersebut.

Moscow dalam pada itu meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan tragedi tersebut.

"Kami meminta penjelasan penuh dan terperinci daripada Washington," kata jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova.

Serangan itu dikhuatiri menjejaskan senjata senjata antara tentera Syria dan kumpulan penentang kerajaan yang masih lagi bertahan sejak beberapa hari lalu hasil usaha kerajaan Rusia dan AS. - AFP





Syria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain