suria

Pangkalan Tentera India Diserang, 17 Askar Maut

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 17 askar India terbunuh apabila kumpulan bersenjata Kashimir menggempur sebuah ibu pejabat tentera yang terletak berdekatan wilayah bergolak itu pada Ahad.

Empat anggota pejuang terbabit turut terbunuh dalam serangan yang berlaku di pangkalan tentera Uri di Garisan Kawalan yang terletak bersempadan Pakistan.

Sumber tentera India memaklumkan, kira-kira 20 askar cedera dalam serangan yang berlaku awal pagi dan angka kematian dijangka bertambah.

Serangan mengejut itu berlaku ketika ketegangan di wilayah Kashmir semakin meningkat susulan bantahan penduduk ke atas tindakan pasukan keselamatan India membunuh seorang komander kumpulan pemisah pada 8 Julai lepas.

Sekurang-kurangnya 78 orang maut dan beribu-ribu lagi cedera akibat pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak keselamatan India yang tercetus hampir setiap hari sejak lebih dua bulan lalu.

Susulan kejadian serangan ke atas pangkalan tentera itu, Menteri Dalam Negeri India, Rajnath Singh berkata, beliau telah mengarahkan pucuk kepimpinan tentera dan politik di wilayah Kashmir untuk memantau perkembangan semasa.

Beliau turut membatalkan lawatan ke Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

"Seluruh kekuatan tentera di wilayah tersebut telah diaktifkan dan tahap keselamatan di Uri juga ditingkatkan.

"Insiden tersebut jelas menunjukkan serangan pengganas yang menceroboh kawasan sempadan, tetapi kami belum mengenalpasti kumpulan militan yang terlibat," katanya.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut. - REUTERS

Kashmir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain