suria

Filipina Bimbang Kehadiran Bot China

MANILA: Kerajaan Filipina menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah bot nelayan dari China di berdekatan kawasan pertikaian di Terumbu Scarborough di Laut china Selatan, sekali gus meminta penjelasan dari Beijing pada Ahad.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana selepas tinjauan tentera udara di lokasi pertikaian itu pada Sabtu menunjukkan kehadiran lebih banyak bot nelayan dari China berbanding biasa.

"Terdapat empat kapal pengawal pantai China dan enam kapal lain yang belayar berdekatan kawasan Terumbu Scarborough.

"Malah kehadiran lebih banyak bot berbanding kapal pengawal pantai di kawasan itu mencetuskan kebimbangan kepada Manila," kata beliau.

Kedutaan China di Manila gagal dihubungi untuk mengulas lanjut isu tersebut.

Walaupun terumbu itu hanya merupakan kawasan berbatu, tetapi ia merupakan lokasi penting buat Filipina kerana memiliki sumber perikanan yang banyak.

Ketegangan antara China dan Filipina semakin meningkat sejak keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara (ICC) pada 12 Julai lalu yang menetapkan tiada pihak boleh menuntut hak di kawasan itu.

Namun Beijing enggan menerima keputusan berkenaan dan kenyataan Manila berhubung kehadiran bot tersebut boleh memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara menjelang sidang kemuncak ASEAN yang akan bermula pada Selasa. - REUTERS

Laut China Selatan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain