suria

Gadai Nyawa Guna Kereta Kabel Usang Demi Sesuap Nasi

BILA anda terperangkap dalam kesesakan lalu lintas atau sedang menunggu bas pengantara dari stesen kereta api pada pagi Isnin, fikirkan sejenak mengenai nasib sekumpulan pekerja di sebuah pekan kecil di Georgia yang terpaksa menggunakan kereta kabel berusia 62 tahun yang buruk dan berkarat, demi mencari sesuap nasi.

Pelombong di pekan Chiatura di bekas negara Kesatuan Soviet terpaksa bergadai nyawa kerana menggunakan pengangkutan tersebut untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja melalui gaung setiap hari.

Kereta kabel yang dibina pada 1950-an oleh Kesatuan Soviet digunakan untuk membawa pekerja di sekitar pekan perlombongan itu dengan lebih cepat.

Ia kini masih lagi beroperasi dan berfungsi sebagai satu kaedah pengangkutan untuk pekerja dan pelancong.


Suatu ketika dahulu, pekan ini pernah menjadi pusat perlombongan mangan di dunia dan dianggap penting bagi Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin.

Bagaimanapun, kejatuhan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) sekali gus menamatkan kebanyakan industri di kawasan itu secara mendadak.

Kesannya antara lain menjadikan rangkaian kereta kabel berkenaan sebagai tinggalan zaman itu.

Mendapan mangan di pekan itu ditemui pada awal abad ke-20, dan para pekerja terpaksa naik dan turun melalui gaung yang curam pada setiap hari kerana ia satu-satunya perjalanan mereka untuk ke tempat kerja.


Dalam usaha untuk memudahkan perjalanan di kawasan geografi yang ekstrem itu, rangkaian kereta api tram dibina.

Ia sekali gus menjadikan setiap sudut pekan perlombongan itu mudah diakses.

Sistem tersebut mengangkut kira-kira 4,000 pekerja dari kediaman mereka di kaki bukit dan dibawa naik melalui gaung untuk ke lombong di tanah tinggi.

Ia juga digunakan untuk membawa mangan ke beberapa kilang di kawasan itu.


Seorang jurugambar, Sakellaraki berkunjung ke Chiatura bagi mengambil peluang keemasan untuk mengambil foto rangkaian kereta kabel yang beroperasi di laluan sepanjang kira-kira enam kilometer.

"Pekan perlombongan Chiatura merupakan identiti pasca Soviet, yang sentiasa menjadi salah satu destinasi harus dikunjungi dalam senarai tertinggi saya, dengan kebanyakannya adalah kerana tarikan latar belakang sejarah dan politik pada lewat 1950-an," kata gadis yang berusia 26 tahun itu.

Mengenai kereta kabel, tambah Sakellaraki: "Enam dekad selepas pembinaannya, walaupun ia berkarat, tetapi masih dilihat sebagai cara paling cepat untuk ke kawasan sekitar.

"Perjalanan masih lancar, walaupun kebanyakan kereta kabel sudah berkarat dimamah usia.

"Kereta kabel di Chiatura merupakan simbol bagi identiti pekan ini dan mercu tanda masa lampau," katanya. - Mail Online 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kes Zika Di Singapura Cecah 242

Artikel Lain