suria

Jururawat Jerman Mungkin Bunuh Sekurang-Kurangnya 33 Pesakit - Penyiasat

Gambar fail Niels H. yang diambil pada 2014. -fotoAP
BERLIN: Seorang jururawat Jerman yang dipenjara seumur hidup tahun lepas kerana membunuh dua pesakit kini merupakan suspek terhadap sekurang-kurangnya 33 lagi kematian, menurut penyiasat.

Penyiasat berkata, jururawat itu juga telah mengaku melakukan lebih banyak pembunuhan.

Lelaki itu, hanya dikenali sebagai Niels H., 39 yang dipenjara seumur hidup pada Februari 2015, didapati bersalah ke atas dua pembunuhan dan tiga cubaan membunuh pesakit di unit rawatan rapi.

Dia sebelum ini telah didakwa membunuh lebih daripada 30 pesakit dengan lebihan dos ubat yang membawa maut di hospital Delmenhorst berhampiran bandar utara Bremen, yang akan menjadikannya sebagai salah seorang daripada pembunuh bersiri terburuk selepas perang Jerman.

Analisis yang dijalankan semula ke atas 99 pesakit di Delmenhorst menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 33 orang telah terbunuh berpunca daripada jururawat itu melalui suntikan maut, kata penyiasat, Rabu.

Tetapi mereka juga menyatakan bahawa lelaki itu juga telah mengaku membunuh pesakit lain di hospital lain berdekatan - Klinik Oldenburg, tanpa memberikan satu angka.

"Kita boleh mengatakan bahawa kisah ngeri ini masih belum berakhir," kata Johann Kuehme, Ketua Polis Bandar Oldenburg.

Kes mengerikan ini bermula sejak 2005, apabila rakan sekerjanya melihat Niels H. menyuntik pesakit di hospital Delmenhorst.

Pesakit itu bagaimanapun terselamat dan Niels H. telah ditangkap dan, pada tahun 2008, dijatuhi hukuman tujuh setengah tahun penjara kerana cubaan membunuh.

Di tengah-tengah publisiti media, seorang wanita kemudian menghubungi polis, menyuarakan syak wasangka bahawa ibunya yang meninggal dunia juga telah menjadi mangsa kepada jururawat tersebut.

Pihak berkuasa telah menggali semula mayat beberapa pesakit dan mengesan kesan dadah terhadap lima daripada mereka.

Nils H. akhirnya mengaku menyuntik kira-kira 90 pesakit dengan ubat tersebut sebagai percubaan untuk memulihkan mereka dan apabila berjaya, dia akan dilihat sebagai penyelamat berbanding rakan-rakan perubatannya.

Artikel Lain