suria

Atlet Indonesia Menang Pingat Olimpik Terima Habuan, Pencen Seumur Hidup

INDONESIA menjanjikan habuan mencecah berbilion rupiah dan elaun pencen seumur hidup sebagai insentif kepada atlet negara itu yang berjaya menyumbang pingat pada Sukan Olimpik 2016.

Setakat ini, Kementerian Belia dan Sukan bersedia menyalurkan peruntukan Rp 5 bilion (155,000) kepada atlet yang memperoleh pingat emas pada kejohanan dunia yang akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil itu.

Seterusnya, pemenang pingat perak pula bakal mendapat Rp 2 bilion (64,000) diikuti Rp 1 bilion (RM32,000) bagi yang memenangi pingat gangsa.

Perkara itu disahkan menterinya, Imam Nahrawi.

Selain itu, Rp 20 juta (RM6,200), Rp 15 juta (RM4,650) dan Rp 10 juta (RM3,100) akan diperuntukan untuk elaun pencen bulanan.

"Kami tidak mahu ia menjadi satu-satunya pencetus untuk meraih kemenangan, sebaliknya keinginan untuk mencapai kejayaan itu perlu ada dalam diri setiap atlet. Bonus yang disediakan untuk menyokong usaha mereka," katanya seperti dilaporkan Antara news agency.

Berdasarkan perkembangan ini, pentadbiran Jokowi menjadi kerajaan Indonesia pertama yang menawarkan pencen kepada pemenang pingat Olimpik.

Kementerian berkenaan juga meminta kerjasama pihak swasta supaya mempertimbangkan untuk menyalurkan elaun sama kepada pemenang pingat bagi kejohanan seperti Sukan Asia, Sukan SEA dan Sukan Nasional (PON).

Indonesia memperoleh 27 pingat sejak Sukan Olimpik Seoul di Korea Selatan pada 1988.

Olimpik, Indonesia, pencen

Artikel Lain