suria

Dua Bot Nelayan Dibom Ketika Berlabuh Di Pattani

PATTANI: Dua buah bot nelayan rosak teruk akibat dibom oleh pihak tidak dikenali ketika berlabuh di dua pelabuhan di Mukim Bandar, daerah Muang, Pattani lewat malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muang Kol.Kirati Waeyusof berkata, kedua-dua kejadian letupan itu berlaku kira-kira 10 malam (waktu tempatan) di Pelabuhan Siripon dan Pelabuhan Sabarang di wilayah bergolak itu.

"Kedua-dua kejadian letupan bom bot nelayan itu berlaku selang lima minit antara satu sama lain, tetapi tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan," katanya kepada pemberita.

Pihak polis sedang melakukan siasatan terperinci untuk mengetahui sama ada motif kedua-dua kejadian letupan bom itu berkait rapat dengan pergolakan di selatan negara itu, menurut beliau.

Kirati juga berkata, pihak polis dan pasukan keselamatan lain mengetatkan kawalan keselamatan bagi mengelak lebih banyak serangan berlaku di daerah Muang dan wilayah Pattani keseluruhannya.

Dalam kejadian berasingan, dua buah premis perniagaan menjual alat ganti motosikal dan perabot di bandar Pattani musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 12.30 tengah malam tadi.

Kebakaran terbabit menurutnya, menyebabkan api marak dengan kuat dan asap  tebal sehingga menyukarkan anggota bomba bersama 10 buah jentera untuk memadamkan kebakaran itu.

Anggota bomba dapat memadamkan kebakaran tiga jam kemudian, katanya dan menambah, seorang warga emas berusia 62 tahun diselamatkan dari premis menjual alat ganti motosikal itu tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Katanya polis juga sedang melakukan siasatan untuk mengetahui punca kejadian serta jumlah kerugian.

Sementara itu di Kampung Jujo, Takbai di Narathiwat, seorang wanita dikenali sebagai Benjawan Khunsakul, 35, mati ditembak ketika menaiki motosikal dari rumahnya ke pekan Takbai, kata jurucakap polis.

Motosikal mangsa turut dilarikan oleh penyerang tidak dikenali itu.

Artikel Lain