suria

24 Maut, 26 Lagi Hilang Tragedi Banjir, Tanah Runtuh Di Indonesia

Penduduk Kampung Sewu di Solo, wilayah Jawa Tengah terjejas teruk akibat banjir.

JAKARTA: Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Indonesia menggorbankan kira-kira 24 orang manakala puluhan mangsa lagi masih hilang.

Hujan lebat yang turun sejak Sabtu lalu menyebabkan banjir serius di sekitar Jawa Tengah dengan ribuan rumah ditenggelami air, kata jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho pada Ahad.

"Maklumat awal... menunjukkan kejadian banjir dan tanah runtuh di Jawa Tengah menyebabkan 24 kematian dengan 26 lagi masih hilang," kata Sutopo dalam satu kenyataan.

Rakaman yang disiarkan stesen televisyen tempatan menunjukkan penduduk kampung duduk di atas bumbung rumah mereka untuk menyelamatkan diri.

Beberapa kenderaan dan rumah turut ditenggelami banjir lumpur itu.

Kawasan yang terdedah kepada risiko tanah runtuh di wilayah yang padat dengan penduduk itu terjejas teruk.

Di satu daerah berasingan, lima mangsa mati tertimbus apabila rumah mereka ditimpa tanah runtuh.

Sementara itu, sembilan lagi maut ketika cuba membersihkan sisa runtuhan di atas jalan.

"Tiba-tiba tanah runtuh menimbusi kereta dan orang ramai yang berada di atas jalan. Sembilan mayat sudah dituntut," kata Sutopo.


Artikel Lain