suria

Tiga Ditahan Kes Rogol Gadis Amish

HARRISBURG: Tiga individu di Pennsylvania didakwa melakukan jenayah seksual  terhadap seorang gadis Amish yang diserahkan ibu bapanya kepada seorang lelaki yang lebih tua.

Polis pada Khamis lalu menahan Lee Kaplan, 51, selain Daniel Stolzfus, 43, dan isterinya Savilla Stolzfus, 42, yang juga ibu bapa kepada gadis tersebut.

Berdasarkan dokumen mahkamah, pasangan Stolzfus itu menyerahkan anak perempuan mereka kerana berterima kasih kepada Kaplan yang menyelamatkan ladang mereka daripada dirampas.

Pasangan itu mengakui menyerahkan anak perempuan mereka yang berusia 14 tahun kepada Kaplan selepas mendapati maklumat di Internet bahawa tindakan itu sah di sisi undang-undang.

Menurut dokumen mahkamah, Kaplan menghamilkan gadis berusia 14 tahun itu dengan serta-merta dan sekali lagi semasa mangsa berusia 17 tahun.

Gadis itu kini berusia 18 tahun, kata polis.

Pekerja kebajikan kanak-kanak di Bucks County mendapati 11 kanak-kanak perempuan berusia antara enam dan 18 tahun tinggal di rumah Kaplan yang terletak di bandar Feasterville pada Khamis.

Kesemua mereka dipercayai gadis Amish.

Kaplan didakwa atas 10 pertuduhan kesalahan seksual, lapan daripadanya jenayah berat di sisi undang-undang termasuk rogol.

Sementara itu, Daniel Stoltzfus pula didakwa bersubahat melakukan jenayah serangan seksual itu.

Daniel dan Savilla juga didakwa mengancam kebajikan kanak-kanak.

Ketiga-tiga suspek akan dibicarakan terhadap pertuduhan itu pada 2 Ogos ini.


gadis Amish, Pennsylvania, rogol

Artikel Lain