suria

Siasatan Nahas MH17 Hampir Selesai

AMSTERDAM: Pasukan pendakwaan yang menyiasat jenayah nahas pesawat MH17 di timur Ukraine dua tahun lalu kini di peringkat akhir dan akan membentangkan rumusan ke mahkamah atau tribunal jenayah selepas musim panas ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihak pendakwa raya memberitahu, mereka juga telah membuat beberapa permintaan bagi bantuan perundangan negara-negara terlibat.

Bagaimanapun, mereka masih menunggu maklumat daripada Rusia mengenai peluru berpandu BUK yang dipercayai punca pesawat penerbangan Malaysia ditembak jatuh sehingga mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal dalam kejadian pada 17 Julai 2014.

Mereka menyatakan, laporan akhir yang disediakan kumpulan penyiasat daripada Belanda, Australia, Malaysia, Belgium dan Ukraine itu akan memperincikan jenis senjata yang digunakan dan lokasi tepat peluru berpandu itu dilancarkan.

Pesawat berkenaan terhempas di wilayah dikuasai kumpulan pemberontak yang menentang kerajaan Kiev dan disokong pihak Moscow.

Dua pertiga penumpang pesawat adalah rakyat Belanda. Bencana itu mendorong sekatan negara Eropah dan Amerika Syarikat terhadap Rusia dan meningkatkan ketegangan antara dua kuasa dunia itu pada ke tahap tertinggi dalam dekad ini.

Kerajaan negara terlibat berjanji akan membawa pesalah ke muka pengadilan dan jika perlu menubuhkan tribunal antarabangsa.

Rusia telah menggunakan kuasa veto Majlis Keselamatan untuk menghalang usul bagi menubuhkan sebuah tribunal di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membicarakan kes itu. – Reuters

MH17, Ukraine, BUK, Belanda, Rusia

Artikel Lain