suria

Wartawan Jenayah Ditembak Mati Di Manila

MANILA: Seorang wartawan jenayah ditembak mati di Manila, kata polis pada Sabtu.

Kelab Akhbar Kebangsaan Filipina dalam satu kenyataan berkata, Alex Balcoba, 56, diserang di tengah Manila pada Jumaat semasa berada di luar kedai membaiki jam yang dimiliki keluarganya.

Presiden kelab, Paul Gutierrez berkata, serangan terhadap Balcoba yang merupakan wartawan akhbar tabloid People's Brigada, menjadikan jumlah wartawan yang dibunuh di Filipina sejak 2010 melebihi 30 orang.

Malangnya, setakat ini masih belum ada suspek bagi mana-mana pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.

Gutierrez berkata, dua lelaki bersenjata yang menembak Balcoba melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Tambahnya, rakan Balcoba membawa wartawan itu ke hospital sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.

Polis Manila mengesahkan kematian Balcoba akibat ditembak tetapi tidak mengulas lanjut.

Gutierrez berkata, polis memberi jaminan akan melakukan siasatan terhadap pembunuhan itu. - AFP

Artikel Lain