suria

Lagi Serpihan Dikaitkan Dengan MH370 Ditemui

Serpihan terbaharu ditemui di Îlot Bernache, Mauritius oleh seorang pelancong Perancis, dua minggu lalu.

SYDNEY: Tiga lagi serpihan baharu ditemui di Mauritius dan Mozambique yang boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370.

Penemuan terbaharu itu disahkan Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester.

Nasib pesawat penumpang itu yang disimpulkan terhempas di lautan selepas hilang dari laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dengan 239 penumpang dan kru pada Mac 2014, kekal misteri.

Lima serpihan ditemui sebelum ini dan dikenal pasti kemungkinan besar dari pesawat jenis Boeing 777 itu.

Kesemua serpihan berkenaan ditemui beribu kilometer dari zon pencarian ketika ini iaitu di perairan barat Australia.

Chester berkata, dua daripada serpihan baharu itu ditemui di Mauritius, manakala satu di Mozambique dan ia mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.

"Kerajaan Malaysia masih belum mengambilnya sebagai hak mereka namun seperti serpihan sebelum ini, pegawai Malaysia sedang menguruskan pengambilannya dan dijangka dibawa ke Australia untuk diuji pakar," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut butiran dan jenis serpihan berkenaan. - AFP

MH370, MAS, serpihan

Artikel Lain