suria

Kemenangan Trump Di New Mexico Dibayangi Protes Ganas

LOS ANGELES: Kemenangan Donald Trump di New Mexico dibayangi protes ganas apabila penunjuk perasaan membaling batu dan botol di luar perhimpunan pendahulu calon Parti Republikan itu.

Walaupun jutawan itu semakin hampir mendapatkan pencalonan partinya untuk bertanding kerusi Presiden Amerika Syarikat yang akan diadakan November ini, ternyata masih ramai yang menolak pendekatan kempennya.

Kekecohan berlaku di luar perhimpunan politik Trump apabila kumpulan penunjuk perasaan membaling kemeja-T terbakar dan botol ke arah anggota polis dan cuba menyerbu masuk ke pusat konvensyen ketika calon presiden itu sedang berucap.

Suasana tegang itu menyebabkan pasukan polis berkuda dan anggota polis lain terpaksa menggunakan penyembur lada dan bom asap untuk menyuraikan mereka.

Penunjuk perasaan itu melaungkan slogan kebencian terhadap Trump. Sebahagian daripada mereka membawa sepanduk anti-Trump dan sebilangan lagi mengibarkan bendera Mexico.

Bilionair itu sebelum ini mencadangkan pembinaan tembok di sempadan Mexico, menggelarkan imigran negara itu sebagai perogol dan penyeludup dadah serta mendesak supaya 11 juta pendatang haram di AS diusir keluar.

Terdahulu, Trump mendapat 76 peratus undi dalam pemilihan di Washington selepas dua pertiga kertas undi telah dikira.

Trump kini mempunyai 1.189 delegasi dan memerlukan cuma 48 delegasi lagi bagi mendapatkan 1,237 delegasi yang diperlukan untuk mewakili Parti Republikan dalam pilihan raya Presiden AS pada 8 November depan. – AFP



Artikel Sebelum

Artikel Lain