suria

Selepas Sri Lanka, Taufan Roanu Diramal Badai India, Bangladesh

Penduduk sekitar Colombo cuba menyelamatkan diri apabila banjir semakin serius di bandar itu.

SELEPAS membadai Sri Lanka, taufan Roanu diramal akan mengancam utara India dan Bangladesh minggu ini, sekali gus menyebabkan hujan lebat berterusan serta banjir.

Bermula di Teluk Benggala, taufan itu juga dijangka mencatatkan hujan antara 50 hingga 100 milimeter dengan kelajuan angin mencecah antara 90 hingga 115 kilometer sejam.

Pesisir pantai selatan Bangladesh dijangka menjadi sasaran taufan dan sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan bencana alam.

Pakar Meteorologi, Rob Richards berkata, ancaman utama Roanu adalah banjir yang boleh mengakibatkan berlakunya tanah runtuh bukan sahaja di selatan Bangladesh dan timur laut India, malahan menjangkau ke utara Myanmar.

Antara daerah di India yang dijangka menerima kesan Roanu adalah Tripura, Mizoram, Manipur, Nagaland dan timur Assam dan Arunachal Pradesh.

Richards juga meramalkan hujan lebat berterusan  pada hujung minggu ini dengam taburan hujan antara 150 hingga 300 milimeter terutama di kawasan tanah tinggi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan yang sentiasa terdedah kepada kejadian banjir dan tanah runtuh supaya bersiap sedia untuk berpindah ke tempat lebih selamat.

Taufan sama telah mengakibatkan Sri Lanka mengalami bencana alam yang terburuk dengan hujan paling lebat dalam tempoh 25 tahun.

Setakat ini, 60 nyawa terkorban di pulau itu, manakala masih ramai lagi yang masih tertimbul akibat banjir lumpur sedalam 15 meter.

Sebahagian besar bandar raya Colombo dikosongkan dalam operasi besar-besaran diketuai tentera yang dibantu sejumlah bot dan helikopter.

Pusat Pengurusan Bencana Nasional berkata, sekitar 200,000 orang telah berpindah dari Colombo dan 400,000 lagi terpaksa tinggal di pusat-pusat pemindahan sementara.

Artikel Lain