suria

Pensyarah Bunuh Diri Selepas Enam Jam 'Buntu' Rundingan Dengan Polis

BANGKOK: Pensyarah Universiti Phranakhon Rajabhat, Wanchai Danaitamonut yang disyaki membunuh dua rakannya pada Rabu, menembak mati dirinya sendiri selepas polis mengesannya di sebuah hotel di Bangkok.

Selepas enam jam berunding dengan polis dan juga saudara-maranya, Wanchai menembak dirinya sendiri sekitar pukul 6.45 petang. Dia telah dibawa ke hospital dan kemudian disahkan meninggal dunia, menurut polis.

Sepanjang rundingan untuk menyerah diri, suspek telah meletakkan pistol di bahagian dahinya.

Kejadian itu yang disiarkan secara langsung oleh banyak saluran televisyen, berterusan hingga lewat petang.

Wanchai dituduh menembak mati dua pemegang ijazah doktor falsafah, Pichai Chaisongkram, 56, dan Nattapon Chumwor-athayee, 54 ketika mereka sedang menjalankan peperiksaan lisan bersama pelajar sarjana di kampus.

Motif dipercayai disebabkan konflik dakwaan Wanchai terhadap Pichai berhubung kelayakan akademik. Tetapi masih tidak jelas jika Wanchai juga mempunyai isu dengan Nattapon.

Ketika wartawan dan jurugambar sibuk membuat liputan kejadian dari dalam dan di tempat letak kereta hotel Suttisan Winitchai Soi 1, polis membawa dua saudara terdekat Wanchai dan dua pelajarnya ke tempat kejadian untuk memintanya meletakkan senjata.

Suspek berdiri di sebelah keretanya di dalam kawasan hotel.

tembak diri, bunuh diri

Artikel Lain