suria

Setya Novanto Dipilih Ketua Umum Golkar

Setya Novanto

JAKARTA: Bekas speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Setya Novanto pada Selasa dipilih sebagai Ketua Umum Partai Golkar yang baharu dalam Musyawarah Nasional Luar Biasa yang berlangsung di Bali.

Menurut laporan media tempatan, Setya diumumkan memenangi jawatan itu apabila pencabar utamanya yang juga pemimpin kanan parti, Ade Komarudin membuat kejutan mengumumkan mengundur diri ketika pengiraan undi sedang berlangsung dan kedua-dua mereka ketika itu mendapat 30 peratus undi.

Dalam pemilihan yang berlangsung dari petang semalam dan berakhir pagi ini, sebanyak 544 perwakilan parti dari seluruh negara layak mengundi untuk memilih lapan calon yang menawarkan diri bagi jawatan Ketua Umum parti bagi tempoh lima tahun.

Bagaimanapun hanya Ade dan Setya masing-masing telah mendapat 30 peratus undi ketika penjumlahan undi berlangsung manakala calon-calon lain belum melepasi 10 peratus.

Setya sebelum ini meletak jawatan sebagai speaker setelah beliau dihadapkan ke mahkamah dewan perwakilan itu ekoran skandal "Papa Minta Saham" iaitu didakwa meminta rasuah daripada sebuah syarikat carigali emas di negara ini.

Ade, 50, yang dilantik sebagai Speaker DPR sejak Disember lepas bagi menggantikan Setya, berkata beliau membuat keputusan itu kerana mendapati dirinya masih muda dan mahu memberi laluan kepada Setya yang kini telah berusia 60 tahun.

Dengan pemilihan ketua yang baharu itu, krisis dalaman parti yang pernah menjadi tunjang kerajaan Republik Indonesia selama lebih 30 tahun di bawah pimpinan presiden Soeharto atau dikenali sebagai zaman Orde Baru, kini diharap selesai.

Parti itu menghadapi krisis kepimpinan yang serius sejak pilihan raya umum pemilihan Presiden Indonesia 2014 sehingga mengakibatkan kerajaan memberi amaran untuk membatalkan pendaftaran parti berkenaan ekoran terdapat dua kumpulan iaitu antara Aburizal Bakri dan Agung Laksono masing-masing mengakui sebagai ketua parti dalam mesyuarat pemilihan yang berlainan.

Setelah campur tangan oleh bekas pemimpin termasuk naib presiden Jusuf Kalla dan bekas presiden B.J. Habibie, kedua-dua mereka bersetuju untuk berundur dan memberi laluan kepada barisan pelapis untuk menerajui parti yang menggunakan lambang pohon beringin itu. 

Artikel Lain