suria

Suspek Pengeboman Thailand Beritahu Media 'Saya Bukan Binatang'

BANGKOK: Salah seorang daripada dua etnik Uighur dari China yang dituduh terlibat dalam pengeboman maut di Thailand tahun lepas pada Selasa, mengadu tentang layanan buruk terhadapnya ketika muncul di mahkamah.

Seramai 20 orang terbunuh dan lebih 120 cedera dalam pengeboman pada 17 Ogos di Makam Erawan Bangkok yang merupakan kawasan tumpuan pelancong. Lima yang terkorban adalah dari China dan dua dari Hong Kong.

Tidak ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.

Polis Thai menolak 'keganasan' sebagai motif dan berkata pelakunya adalah ahli-ahli yang mempunyai kaitan dengan etnik Uighur.

Polis telah menahan dua suspek, Yusufu Mieraili dan Adem Karadag, kedua-dua mereka adalah etnik Uighur, dan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap 15 yang lain.

Karadag dan Mieraili telah menafikan semua tuduhan terhadap mereka.

"Saya bukan binatang," kata Karadag yang tidak berkasut kepada pemberita, ketika dua pengawal membawanya ke mahkamah tentera.

"Saya manusia, saya manusia."

Di dalam mahkamah, Karadag yang meraung telah mengangkat bajunya, menunjukkan kesan lebam dan berkata menerusi penterjemahnya bahawa dia telah dipukul sebanyak dua kali bulan ini ketika dalam tahanan, kata seorang saksi Reuters.

Hakim itu berkata beliau akan menyiasat dan akan mempertimbangkan permohonan peguam Karadag untuk perpindahan.

Peguam Karadag, Schoochart Kanpai, berkata sebelum ini anak guamnya telah disiksa untuk mengaku bersalah.

Sementara Mieraili pula merayu bantuan.

"Kami tidak bersalah, tolonglah kami, tolonglah kami, di mana hak-hak asasi manusia?" kata Mieraili sebaik sahaja muncul dari sebuah van penjara di luar mahkamah.

Para peguam berkata, lebih 250 saksi mungkin akan dipanggil untuk pendakwaan dan pembelaan.

Schoochart berkata beliau berharap perbicaraan akan berakhir pada akhir tahun 2016, tetapi ia boleh berlarutan setahun lebih lama.

kuil Erawan, pengeboman Bangkok

Artikel Berikut

Artikel Lain