suria

Cuaca Panas, Harga Sayuran Malaysia Terus Meningkat Di Singapura

- Gambar hiasan
SINGAPURA: Dengan Malaysia terus berdepan cuaca panas dan kering, harga sayur-sayuran negara itu yang diimport ke Singapura nampaknya akan terus meningkat, lapor Channel News Asia, Selasa.

Portal berita itu, yang memetik Persatuan Pengimport dan Pengeksport Buah-buahan dan Sayur-sayuran Singapura, melaporkan bahawa harga itu dijangka meningkat kerana bekalan sayur-sayuran berdaun dari Malaysia mungkin merosot kira-kira 30 peratus pada minggu-minggu mendatang.

"Harga semakin meningkat kerana petani di seberang Tambak Johor sedang bergelut dengan keadaan mencabar di mana suhu di beberapa tempat adalah melebihi 37 darjah celsius," penolong setiausaha persatuan itu, Jerry Tan, dipetik sebagai berkata.

Di Singapura, kos borong sayur-sayuran seperti chye sim dan bayam bertambah dua kali ganda sejak bulan lepas manakala harga xiao bai cai  meningkat separuh sejak dua minggu lepas, kata Tan.

"Puncanya adalah cuaca panas yang membantutkan pertumbuhan sayur-sayuran.  Pengeluaran merosot dan permintaan terus bertambah,"katanya.

Pada Isnin, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) berkata kenaikan harga makanan berpunca daripada bekalan yang terjejas akibat cuaca panas di negara-negara jiran.

harga sayur, cuaca panas

Artikel Lain