suria

Kepala Tebusan Tetap Dipenggal Walau Wang Telah Disediakan

John Ridsdel
ZAMBOANGA CITY: Pada hari warga Kanada John Ridsdel, 68, dipenggal kepalanya, wang tebusan berjumlah 20 juta peso (AS$426,000) telah dikumpul untuk dihantar kepada kumpulan penculik Abu Sayyaf.

Perjanjian itu bagaimanapun tidak dipersetujui selepas penculik enggan menurunkan nilai tebusan mereka.

Pada petang Isnin, kepala Ridsel di dalam karung plastik kuning ditemui berhampiran balai polis, dalam dewan perbandaran di wilayah Jolo, Sulu.

Tiga daripada sahabat Ridsdel, Robert Hall (Kanada), Kjartan Sekkingstad (Norway) dan Maritess Flor (Filipina) masih menjadi tawanan kumpulan penculik itu.

Satu sumber berkata wang tebusan telah dikumpul oleh rakan-rakan, keluarga dan saudara-mara di sini dan di luar negara.

"Dan saya di sini untuk mencari seseorang yang boleh membantu kami menghantarnya. Ia sudah melepasi dua hari tetapi tiada apa yang berlaku," kata satu sumber memberitahu Inquirer.

Abu Sayyaf menuntut 300 juta peso (AS$6.4 juta) untuk setiap seorang daripada empat mangsa penculikan.

Sumber itu berkata, hanya 20 juta peso berjaya dikumpul dan jumlah ini telah ditawarkan kepada Abu Sayyaf. Mereka menolaknya, mereka mahukan 300 juta peso.

Pada petang Isnin, sahabat Ridsdel, Emmanuel Cayton menunggu perkembangan mengenai rundingan dan kemudian memutuskan untuk menaiki bot ke Jolo.

Beliau mendengar berita kepala yang dipenggal dalam perjalanannya ke ibu negara Sulu.

"Saya melihat gambar-gambar itu, matanya terbuka luas, ia menunjukkan bahawa dia dibunuh dalam sedar, hidup, dan saya tidak dapat membayangkan kengerian dan kesakitan yang ditanggung keluarganya," kata Cayton, ketua perunding keselamatan untuk TVI Mining, bekas majikan Ridsdel.

Artikel Lain