suria

Salah Faham Punca Banduan Penjara Bandung Merusuh

JAKARTA: Kematian seorang banduan yang menggantung dirinya mencetuskan kekecohan di penjara di Bandung, Jawa Barat apabila rakannya di sel tahanan narkotik menyangka dia dibunuh.

Salah faham yang membawa kepada rusuhan itu menyebabkan sebahagian bangunan penjara narkotik Banceuy dibakar, sekali gus memusnahkan dua kereta dan motosikal.

Susulan itu, pasukan bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran.

Banduan juga bertindak melempar batu ke arah anggota polis yang dikerah ke penjara itu selepas menerima laporan kejadian rusuhan itu.

Sekurang-kurangnya lima daripada 600 pegawai polis dilaporkan mengalami kecederaan.

"Setakat ini, tahap keselamatan di penjara  ditingkatkan untuk mengelak kejadian sama berulang," kata Ketua Penjara Cirebon, Heni Yuwono.

Selain itu, pihaknya juga mengadakan jaringan dengan lebih rapat bersama banduan untuk memastikan arahan dipatuhi.

"Kami melayan semua banduan dengan sama rata dan adil bagi mengelak perasaan tidak puas hati di kalangan mereka," katanya.

Sementara itu, Menteri Hak Asasi Manusia dan Keadilan, Yasonna Laoly yang melakukan lawatan mengejut ke penjara itu berkata sehari sebelum kejadian, tujuh banduan diasingkan selepas enggan mengaku mengambil dadah walaupun hakikatnya seorang daripada mereka didapati positif dadah.

Katanya, seorang banduan yang diasingkan itu didakwa membunuh diri dengan menggantung diri dan polis tiba di penjara untuk menyiasat kematiannya.

"Pagi berikutnya, khabar angin merebak dalam penjara bahawa rakan mereka dibunuh. Kemudian rusuhan berlaku dan kebakaran juga berlaku," katanya kepada Kompas.com.


Bandung, Heni Yuwono

Artikel Lain